http://www.pengawa§mkt.cjb.net/
.
Dasar Dan Perancangan [2]

JavaFILE

HOME | Ucapan Pemangku Pengetua | Organisasi (2002) | Pengurusan Cemerlang | Senarai Pengawas (2002) | Dasar dan Perancangan | Aktiviti / Takwim (2001-2002) | Album (2002)

3

3. ANALISIS MASALAH

Daripada pengelompokan masalah dalam badan pengawas itu tadi, dapatlah cungkil dengan lebih detail berkaitan dengan masalah, punca dan akibat daripada masalah berkenaan.

3.1 Ketua Pengawas yang kurang berkaliber

Ketua murid di sekolah-sekolah menengah Malaysia mempunyai standard yang berbeza. Ini dipengaruhi oleh dua faktor :

a)      Individu itu sendiri - pendidikan, kepemimpinan, IQ dan EQ

b)     Persekitaran sekolah dan latar belakang masyarakat

Ketua murid biasanya dipilih secara lantikan oleh pihak sekolah atau di sesetengah sekolah secara undian. Oleh itu, ketua murid sesebuah sekolah kebanyakannya terdiri daripada pelajar yang terbaik dari segi pencapaian akademik, sikap, kepemimpinan, kebolehan dan bakatnya di kalangan sekolah di mana dia berada.

Walau bagaimana pun, sesebuah sekolah pada satu-satu masa itu mendapat best of the best sebagai ketua pengawas. Bagaimana pun kadang kala terpaksa memilih the best among the worst. Pada ketika-ketikanya ketua pengawas terpaksa dilantik dari kalangan pelajar yang lebih junior, kerana pada tahun itu tidak ada pengawas senior yang berwibawa dan berketrampilan.

3.2 Pengawas yang kurang berwibawa

Pengawas-pengawas biasanya terdiri daripada mereka yang :

a)    memang berminat untuk menjadi pengawas dan menjalankan tugas sebagai pengawas,

b)    berminat untuk memegang jawatan pengawas sahaja,

c)    kurang berminat untuk menjadi pengawas tetapi mempunyai rasa tanggungjawab kerja apabila dilantik,

d)    didesak oleh guru tetapi kurang berminat untuk menjadi pengawas dan tidak mempunyai rasa tanggungjawab kerja apabila dilantik

e)    dilantik menjadi pengawas sebagai proses pemulihan tingkahlaku,

f)     mempunyai saiz badan yang besar atau kelihatan berpengaruh

Kebiasaannya golongan (b), (d) dan (e) akan menimbulkan banyak masalah dan menggugat status kewibawaan pengawas.

3.3 Sokongan kerja Pengawas yang lemah

Sokongan kerja pengawas yang dimaksudkan di sini adalah :

a)    bantuan guru dalam kesukaran pengawas menguatkuasakan peraturan

b)    kemudahan peralatan kerja pengawas

c)    bilik gerakan pengawas

Ketiadaan atau kekurangan sokongan untuk pengawas menjalankan tugas ini antara faktor yang menyebabkan pelajar-pelajar tidak mahu menjadi pengawas dan melunturkan semangat pengawas yang sedia ada.

3.4 Bidang kuasa dan tugas pengawas yang tidak jelas.

Semasa menjalankan temuduga untuk pemohon-pemohon jawatan pengawas, penulis selalu bertanya kepada pemohon-pemohon tentang bidang kuasa dan tugas pengawas sebenarnya. Hampir semua mereka tidak dapat menjawab dengan jelas dan pasti tentang tugas dan bidang kuasa pengawas. Didapati juga bahawa, kebanyakan pelajar hanya melihat pengawas sebagai penjaga pagar, penjaga barisan pelajar dan peronda semasa rehat sahaja. Mereka tidak tahu apakah peranan pengawas sebenarnya. Lebih malang lagi apabila pengawas dan guru sendiri tidak tahu apakah peranan dan bidang kuasa pengawas.

Penulis pernah menghubungi pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar di Jabatan Pendidikan Negeri untuk mendapatkan garis panduan bidang kuasa dan tugas pengawas; malangnya tidak ada.

3.5 Penilaian dan Penghargaan Pengawas

Kebanyakan sekolah, kecuali sekolah penulis tidak mempunyai sistem penilaian tugas pengawas. Hampir semua sekolah yang ditinjau, memberi sijil penghargaan pengawas. Namun, adalah tidak adil apabila tedapat pencapaian berbeza dalam prestasi kerja antara seorang pengawas dengan pengawas yang lain. Ini adalah antara faktor, terdapatnya pengawas yang bertugas sambil lewa. Mereka merasakan akan diberi penilaian dan sijil penghargaan yang sama dengan pengawas lain.

Pengawas-pengawas juga biasanya lebih tertekan kerana jangkaan guru terhadap mereka adalah tinggi. Andainya pencapaian akademik atau tingkahlaku mereka tidak wajar, guru-guru sering mengungkit tentang kedudukan mereka sebagai pengawas. Kebanyakan pengawas sedar bahawa mereka perlu menjadi contoh, menjadi pembimbing rakan sebaya dan menunjukkan teladan kepada pelajar lain; namun mereka tetap pelajar sekolah yang mengalami berbagai masalah.

3.6 Sistem pemantauan dan kawalan mutu kerja yang lemah

Kebanyakan badan pengawas di sekolah, diamanahkan oleh Badan Disiplin dan Pengawas kepada seorang atau dua orang guru pembimbing. Kelancaran tugas pengawas bukan sahaja terletak kepada perancangan dan penjadualan tugas; tetapi juga kepada sistem pemantauan kerja. Biasanya Ketua Pengawas diamanahkan untuk membuat kerja pemantauan bagi pihak guru. Bagaimana pun, seorang Ketua Pengawas yang kurang berpengaruh dan berdaya pimpin tidak akan dapat memantau kerja pengawas bawahannya dengan berkesan.

Begitu juga dengan kawalan mutu kerja pengawas; yang mana tiadanya satu sistem yang tekal untuk mengukur aspek ini. Kawalan dan penilaian yang longgar akan mewujudkan pasukan pengawas suka curi tulang, berpuak-puak, tidak berminat, membuang masa, melarikan diri dari tanggungjawab, pecah amanah dan seumpamanya.

3.7 Hubungan luar yang lemah

Hubungan luar di sini lebih difokuskan kepada :

a)    komunikasi.

Sebahagian pengawas didapati mempunyai kebolehan berkomunikasi yang lemah; hingga menyebabkan mereka tidak disukai oleh pelajar, malah guru. Pengawas sewajarnya pandai berkomunikasi dalam usaha menjadi pemimpin yang mampu menguatkuasakan peraturan.

b)    penyebaran maklumat

Badan Disiplin dan Pengawas sekolah biasanya menyebarkan maklumat tentang peraturan dan disiplin dengan berbagai cara. Pengawas sepatutnya menjadi penghubung dalam menambah kefahaman dan keakuran pelajar terhadapnya. Bagaimana pun terdapat pengawas sendiri yang tidak ambil tahu, tidak memahami malah menentang sesuatu maklumat tentang dasar, peraturan atau arahan Badan Disiplin.

c)    pertukaran maklumat antara sekolah

Jarang sekali pengawas-pengawas dapat mengemukakan cadangan yang mereka fikir atau tahu daripada sekolah-sekolah lain. Oleh itu, perkembangan ilmu dan teknikal pengurusan pengawas lambat berkembang. Hasilnya, pengawas-pengawas tidak merasa bertanggungjawab ke atas perkembangan disiplin sekolah, malah melemahkan self-esteem mereka. Semuanya menunggu arahan dan keputusan daripada guru.

 
 
 
Page >> 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6

HOME | Ucapan Pemangku Pengetua | Organisasi (2002) | Pengurusan Cemerlang | Senarai Pengawas (2002) | Dasar dan Perancangan | Aktiviti / Takwim (2001-2002) | Album (2002)