http://www.pengawa§mkt.cjb.net/
.
Dasar Dan Perancangan [3]

JavaFILE

HOME | Ucapan Pemangku Pengetua | Organisasi (2002) | Pengurusan Cemerlang | Senarai Pengawas (2002) | Dasar dan Perancangan | Aktiviti / Takwim (2001-2002) | Album (2002)

4

4. PENGKONSEPAN

Dalam bahagian ini kita akan mengkaji punca masalah-masalah tersebut dengan tujuan untuk mencapai satu konsep yang boleh dihurai dan dicadangkan penyelesaiannya.

4.1 Ketua Pengawas yang kurang berkaliber

Ketua Pengawas sebenarnya adalah pelajar yang terpilih untuk dilatih sebagai pemimpin di kalangan pelajar. Malangnya terdapat guru yang menganggap pelajar sebagi budak suruhan untuk memudahkan kerja mereka berhubung dengan pengawas. Ketua pengawas pula tidak akan sama kewibawaan mereka antara satu sama lain bagi setiap tahun. Terdapat ketua pengawas yang born to be a leader. Walau bagaimana pun, kebanyakannya adalah trained leader. Suasana kepemimpinan di sekolah mempengaruhi keberkesanan ketua pengawas. Guru-guru yang baik menginspirasikan pelajarnya. Teori Kepemimpinan Transformasional telah membuktikan hal ini.

4.2 Pengawas-pengawas yang kurang berwibawa

Dari segi konsepnya, pengawas juga merupakan golongan yang berpeluang menerima latihan untuk menjadi pemimpin. Namun begitu, jika dilihat hari ini pengawas-pengawas adalah terdiri daripada mereka yang penakut,tidak bersemangat, tidak tegas, tidak tahu membuat keputusan dan tidak tahu berkomunikasi dengan baik. Mereka agak pasif dan mengharapkan dorongan dan perlindungan. Sesuai dengan Teori Psikologi Rogers (1983), pengawas-pengawas sebegini selalunya akan mengambil tindakan yang akan melindungi diri mereka daripada kesan negatif. Mereka ini sebenarnya memerlukan latihan kepemimpinan, dorongan dan pemantauan  yang berterusan.

4.3 Sokongan kerja pengawas yang lemah

Seperti yang dinyatakan tadi, sokongan guru, kemudahan kerja dan kedaifan atau ketiadaan bilik gerakan pengawas akan membuatkan pengawas lemah. Kelemahan ini amat ketara di kalangan guru-guru kerana masa kini hanya segelintir guru sahaja yang berminat untuk membuat kerja-kerja mendisiplinkan pelajar. Kebanyakan guru mengamalkan sikap play safe, tidak mahu campur, tutup mata atau ambil mudah hal-hal berkaitan dengan penguatkuasaan disiplin pelajar. Guru-guru ini biasanya tidak mahu memeningkan kepala atau bimbang keselamatan mereka, keluarga mereka atau harta benda mereka terancam. Pengawas-pengawas juga akan mengambil sikap mementingkan diri apabila melihat guru-guru bersikap demikian. Menurut Albert Bandura (1977) sikap begini dinamakan pembelajaran sosial.

Dari segi kemudahan tugas juga diperhatikan sesetengah sekolah tidak mementingkan kebajikan para pengawas. Pengawas terpaksa membayar sendiri uniform pengawas, tanda nama dan seumpamanya. Kedapatan juga pengawas yang didenda kerana lewat masuk ke kelas disebabkan tugas pengawas. Rasa tidak dihargai, dipergunakan malah sering didenda akan mewujudkan pertentangan dalam diri pengawas. Pertentangan ini akan mewujudkan ketegangan antara dua perkara; idea dan individu berkenaan.

Kemudahan bilik gerakan pengawas juga mempengaruhi produktiviti pengawas. Sesetengah sekolah tidak mempunyai bilik gerakan pengawas dan sebahagiannya ada dengan keadaan yang sangat minima.  Sebagai  pemimpin,  pengawas  memerlukan  bilik gerakan untuk aktiviti perancangan, rehat, belajar lebih masa dan seumpamanya. Keselesaan akan membuatkan pengawas merasakan sekolah adalah rumah kedua mereka dan bilik gerakan pengawas adalah bilik mereka. Kekosongan tempat dan kemampuan wang ringgit sekolah biasanya mempengaruhi keadaan bilik pengawas.

4.4 Bidang kuasa dan tugas pengawas yang tidak jelas

Sebagaimana yang telah penulis jelaskan pada bahagian analisis masalah tadi; sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri atau Kementerian Pendidikan sepatutnya memberi garis panduan atau menggubal dasar bagi menjelaskan bidang kuasa dan tugas pengawas. Ketidakjelasan ini menyebabkan sekolah berlainan mengamalkan polisi pemberian kuasa dan bidang tugas pengawas. Pernah dipersoalkan bagaimana sebuah sekolah di Selangor memberi kuasa kepada pengawasnya mengutip denda dalam bentuk wang apabila mendapati mana-mana pelajar sekolah itu melakukan kesalahan.

4.5 Sistem penilaian dan pemberian penghargaan pengawas

Sebahagian besar pengawas mempunyai anggapan bahawa taraf kerja mereka adalah sama sahaja. Bagaimana pun jika diamati betul-betul, dalam sesebuah badan pengawas; terdapat golongan yang mementingkan diri sendiri, malas, bersikap tunggu dan lihat malah ada juga golongan yang suka menentang. Ini akan mengecewakan dan menyusahkan sebahagian pengawas yang baik dan bekerja bersungguh-sungguh. Mereka tidak diberi apa-apa keistimewaan yang lebih dan ini akan menurunkan semangat mereka. Menurut Teori Psikologi Heider dan Newcomb (1958), manusia perlukan keseimbangan antara sumbangan dengan penghargaan yang mereka terima. Pertemuan seimbangan antara kerja dengan penghargaan ini akan mewujudkan suasana yang dimaksudkan dalam Balance Theory Heider-Newcomb.

4.6 Sistem pemantauan dan kawalan mutu kerja pengawas yang lemah

Memangnya tidak ada suatu instrumen yang dapat mengukur prestasi kerja pengawas. Pemantauan oleh guru amat jarang dilakukan. Hasilnya pengawas akan menampilkan mutu kerja yang rendah. Mutu kerja dan kawalan guru dan pengawas yang rendah akan mewujudkan suasana disiplin yang biasanya agak bermasalah.  Keadaan ini disebabkan beban kerja guru yang semakin bertambah setiap hari; manakala ketua pengawas juga mempunyai komitmen terhadap pelajaran mereka.

4.7 Hubungan luar yang lemah

Akibat daripada kesibukan, pengawas-pengawas biasanya tertinggal dalam bidang komunikasi dalam kepemimpinan. Komunikasi adalah teras kepemimpinan kerana ia berkaitan dengan pengaruh. Pengawas yang berpengaruh akan dapat menjalankan tugasnya dengan mudah dan berkesan. Kelemahan ini, biasanya disebabkan oleh faktor semula jadi seperti pemalu, pendiam atau mempunyai kekurangan; misalnya keterbatasan bahasa, pelat dan seumpamanya.

 
 
 
Page >> 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6

HOME | Ucapan Pemangku Pengetua | Organisasi (2002) | Pengurusan Cemerlang | Senarai Pengawas (2002) | Dasar dan Perancangan | Aktiviti / Takwim (2001-2002) | Album (2002)